PERTEMBUNGAN ADIK-BERADIK FANDI WARNAI FINAL THAI LEAGUE CUP

Gambar utama PERTEMBUNGAN ADIK-BERADIK FANDI WARNAI FINAL THAI LEAGUE CUP

Dua putera legenda Fandi Ahmad bakal mencuri tumpuan apabila Ikhsan Fandi dan Irfan Fandi akan berentap sesama sendiri di pentas final Thai League Cup musim 2025/26.

Aksi menarik itu menjadi kenyataan selepas kedua-dua pemain membantu kelab masing-masing melangkah ke perlawanan akhir, sekali gus mencipta satu lagi detik istimewa dalam karier mereka di pentas bola sepak Thailand.

Ikhsan bersama BG Pathum United mengesahkan tempat ke final selepas menewaskan juara bertahan Buriram United dengan keputusan tipis 1-0.

Sementara itu, Irfan yang memperkuat Port FC terpaksa mengharungi aksi penuh dramatik sebelum menundukkan Chonburi FC 4-3 di Stadium Wilayah Ayutthaya.

Kejayaan BG Pathum turut membawa makna besar apabila mereka berjaya menghalang Buriram United daripada mencipta pencapaian meraih empat trofi dalam satu musim.

Apa yang lebih menarik, kedua-dua beradik ini berpeluang menambah koleksi kejuaraan Thai League Cup buat kali kedua dalam karier masing-masing.

Ini kerana Ikhsan dan Irfan sebelum ini pernah berganding bahu membantu BG Pathum muncul juara edisi 2023/24, menjadikan pertemuan kali ini sarat dengan nilai sentimental.

Dalam masa sama, Irfan turut berpeluang menghadiahkan kejuaraan buat Port FC sekali gus menamatkan kemarau trofi kelab itu sejak kali terakhir menjulang Thai FA Cup pada tahun 2019.

Port juga berpeluang menamatkan penantian panjang selama 16 tahun untuk merangkul trofi Thai League Cup, dengan kejayaan terakhir mereka hadir pada tahun 2010 ketika dibimbing oleh Sasom Pobprasert.