AL-AHLI VS AL-DUHAIL: SIAPA BAKAL CABAR JDT?

Gambar utama AL-AHLI VS AL-DUHAIL: SIAPA BAKAL CABAR JDT?

Johor Darul Ta’zim (JDT) kini hanya menunggu siapa lawan yang bakal dihadapi di pentas suku akhir AFC Champions League Elite (ACLE).

Segalanya akan ditentukan menerusi aksi pusingan 16 Zon Barat yang berlangsung minggu ini, dengan lapan kelab masih bersaing untuk merebut empat slot ke peringkat seterusnya.

Empat pemenang dari perlawanan tersebut akan melengkapkan senarai suku akhir, sekali gus bertemu wakil dari Zon Timur yang sudah lebih awal mengesahkan kemaraan, termasuk Johor Darul Ta’zim.

Skuad Harimau Selatan sebelum ini mencipta kejutan apabila berjaya menyingkirkan kelab Jepun, Sanfrecce Hiroshima, sekali gus mengukuhkan reputasi mereka sebagai antara pencabar serius dalam saingan kali ini.

Berdasarkan undian, JDT bakal berdepan pemenang antara kelab Qatar, Al-Duhail atau juara bertahan dari Arab Saudi, Al-Ahli.

Pertembungan antara dua pasukan tersebut dijangka sengit, dengan kedua-duanya memiliki kualiti serta pengalaman luas di pentas Asia.

Al-Ahli dilihat mempunyai sedikit kelebihan, lebih-lebih lagi dengan status selaku juara bertahan selain beraksi di laman sendiri. Namun, Al-Duhail bukan lawan mudah dan mampu mencipta kejutan berdasarkan rekod seimbang antara kedua-dua pasukan sebelum ini.

Setakat rekod pertemuan, kedua-dua kelab masing-masing meraih satu kemenangan selain dua keputusan seri, menunjukkan jurang kekuatan yang tidak terlalu besar.

Aksi antara Al-Ahli dan Al-Duhail dijadualkan berlangsung malam ini, dengan sepak mula pada jam 10.30 malam di Stadium Alinma.