JDT RACING TEAM CIPTA SEJARAH DI SEPANG

Gambar utama JDT RACING TEAM CIPTA SEJARAH DI SEPANG

JDT Racing Team mencipta sejarah baharu dalam saingan Asia Road Racing Championship (ARRC) selepas meraih kemenangan berganda pertama mereka dalam kategori Asian Superbike 1000 (ASB1000).

Kejayaan itu hadir menerusi aksi cemerlang Hafizh Syahrin yang mengungguli kedua-dua perlumbaan di Sepang, sekali gus menghadiahkan detik bersejarah buat pasukan tersebut.

Lebih manis, Hafizh turut mencatatkan ‘clean sweep’ apabila mendominasi keseluruhan hujung minggu perlumbaan bermula dari sesi latihan bebas pada Jumaat, kelayakan, sehingga perlumbaan kedua pada Ahad.

Dalam masa sama, pelumba baharu pasukan, Andi Farid Izdihar tidak kurang menyerlah apabila berjaya meraih dua podium dalam dua perlumbaan ASB1000.

Hafizh selepas perlumbaan meluahkan penghargaan kepada semua pihak yang memberi sokongan, termasuk penyokong Johor Darul Ta’zim yang hadir ke Sepang bagi memberikan semangat kepada pasukan.

Hasil kemenangan berganda itu menyaksikan Hafizh kini menerajui kedudukan keseluruhan ASB1000 dengan 50 mata, diikuti Keito Abe dengan 40 mata, manakala Andi Farid di tempat ketiga dengan 32 mata.

Saingan ARRC selepas ini akan diteruskan ke pusingan kedua yang dijadual berlangsung di Buriram, Thailand dari 8 hingga 10 Mei.