JDT BAKAL DIUJI GERGASI ARAB SAUDI DI SUKU AKHIR ACLE
Johor Darul Ta’zim bakal berdepan ujian getir musim ini apabila dijadualkan menentang kelab berstatus bintang dari Arab Saudi, Al-Ahli Saudi FC dalam aksi suku akhir AFC Champions League Elite (ACLE).
Laluan mempertemukan kedua-dua pasukan itu hanya dimuktamadkan selepas Al-Ahli mengharungi pertarungan sengit menentang Al-Duhail dalam pusingan 16 Zon Barat. Perlawanan yang berlarutan hingga masa tambahan itu akhirnya memihak kepada wakil Jeddah berkenaan.
Detik penentuan hadir pada penghujung permainan apabila Riyad Mahrez muncul wira dengan sepakan percuma berkualiti tinggi, sekali gus memastikan Al-Ahli mara dan mengunci pertembungan menentang JDT.
Berbekalkan barisan pemain bertaraf antarabangsa serta pengalaman luas di pentas besar, Al-Ahli hadir sebagai lawan yang cukup berbahaya buat skuad Harimau Selatan.
Bagi JDT pula, ini adalah pentas untuk terus membuktikan kemampuan mereka selepas mencipta sejarah mara ke suku akhir buat kali pertama, sekali gus mengangkat cabaran membawa nama Malaysia lebih jauh di Asia.
Aksi penuh tumpuan ini dijadual berlangsung pada 17 April di King Abdullah Sports City dengan sepak mula pada jam 10.45 malam.