JDT DIUJI JUARA BERTAHAN DI SUKU AKHIR ACLE

Gambar utama JDT DIUJI JUARA BERTAHAN DI SUKU AKHIR ACLE

Pentas suku akhir AFC Champions League Elite (ACLE) kini rasmi lengkap dengan lapan kelab terbaik Asia, termasuk wakil Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Tumpuan pastinya terarah kepada pertembungan getir melibatkan JDT yang bakal berdepan juara bertahan, Al-Ahli satu ujian besar buat skuad Harimau Selatan dalam misi mencipta sejarah di pentas Asia.

Kemaraan Al-Ahli ke suku akhir dilihat menepati ramalan apabila mereka menyingkirkan Al-Duhail 1-0 menerusi jaringan bintang, Riyad Mahrez.

Sementara itu, laluan ke peringkat ini tidak semudah dijangka buat beberapa pasukan gergasi lain. Al-Hilal misalnya dikejutkan oleh Al-Sadd selepas tewas menerusi penentuan sepakan penalti dalam aksi dramatik yang berkesudahan 3-3 secara agregat.

Dalam satu lagi aksi, Shabab Al-Ahli tampil dominan dengan kemenangan 3-0 ke atas Tractor dalam perlawanan yang turut dicemari kad merah kepada pemain wakil Iran itu.

Al-Ittihad pula melengkapkan senarai suku akhir selepas menewaskan Al-Wahda 1-0 hasil sepakan penalti lewat oleh Fabinho di hadapan penyokong sendiri.

Selain aksi JDT bertemu Al-Ahli, satu lagi perlawanan tumpuan melibatkan wakil ASEAN, Buriram United yang bakal berdepan Shabab Al-Ahli bagi merebut tempat ke separuh akhir.