UNDIAN PIALA ASIA 2027 DIJADUAL SEMULA KE 9 MEI
Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) mengesahkan majlis undian Piala Asia 2027 akan berlangsung pada 9 Mei di Arab Saudi selepas perubahan jadual dibuat.
Pada asalnya, undian tersebut dirancang berlangsung lebih awal di Riyadh, namun situasi semasa di Timur Tengah memaksa AFC menyusun semula perancangan bagi memastikan semua pasukan dapat terlibat tanpa sebarang kekangan.
Sebagai kelainan, lokasi undian kali ini dipilih di ad-Dir’iyah, sebuah kawasan bersejarah yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO, sekali gus menambah elemen simbolik kepada acara tersebut.
Setakat ini, 23 pasukan sudah mengesahkan tempat ke pusingan akhir, manakala satu lagi slot terakhir akan ditentukan menerusi pertemuan antara Lubnan dan Yaman pada 4 Jun.
Kejohanan edisi ke-19 itu dijadual berlangsung dari 7 Januari hingga 5 Februari 2027 dengan tiga bandar utama – Riyadh, Jeddah dan Al Khobar – dipilih sebagai tuan rumah.