AFF TAK TEMUI SEBARANG PELANGGARAN BERKAITAN ISU JDT
Hal membabitkan Johor Darul Ta’zim akhirnya menemui noktah apabila Konfederasi Bola Sepak ASEAN (AFF) mengesahkan tiada kesalahan dilakukan oleh kelab itu dalam saingan ASEAN Club Championship Shopee Cup 2025/26.
Keputusan tersebut dibuat selepas badan induk Asia Tenggara itu meneliti keseluruhan laporan serta dokumen berkaitan, termasuk perkara teknikal yang memerlukan rujukan kepada proses antarabangsa.
Dalam penjelasan mereka, AFF melihat tiada pelanggaran peraturan berlaku, sama ada dari sudut pendaftaran pemain mahupun pematuhan kepada garis panduan pertandingan.
Malah, isu berkaitan dakwaan penggunaan dokumen tidak sah juga tidak berasas, apabila semua bahan yang dikemukakan didapati lengkap dan mengikut prosedur ditetapkan.
Perkara paling penting, status pemain yang terlibat turut disahkan sebagai warganegara Malaysia ketika pendaftaran dibuat, sekali gus menutup persoalan mengenai pematuhan kuota pemain.
Dengan keputusan itu, AFF memilih untuk tidak meneruskan sebarang tindakan, sekali gus membersihkan nama JDT daripada sebarang dakwaan dalam kes berkenaan.