FINAL PERTAMA DALAM SEJARAH: KUCHING CITY PENCABAR JDT
Trofi Piala Malaysia musim ini bakal menjadi rebutan dua pasukan terbaik apabila Johor Darul Ta’zim (JDT) dijadualkan bertemu Kuching City di pentas akhir.
Aksi separuh akhir kedua pada Sabtu menyaksikan Kuching City mencipta sejarah baharu kelab dengan melangkah ke final buat kali pertama sejak penubuhannya pada 2015.
Jaringan tunggal Petrus Shitembi pada babak pertama sudah cukup untuk memastikan kemaraan The Cats dalam perlawanan penuh bersejarah itu.
Kejayaan tersebut menjadi detik penting buat Kuching City yang terus mencuri perhatian dalam kempen Piala Malaysia musim ini.
Menanti mereka di pentas akhir adalah juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) yang sekali lagi membuktikan status selaku kuasa dominan bola sepak tempatan.
Skuad Harimau Selatan tidak berdepan masalah untuk menyingkirkan KL City dengan keputusan agregat 8-1 yang cukup meyakinkan.
JDT mempamerkan konsistensi tinggi apabila meledak empat gol dalam setiap aksi timbal balik, sama ada di tempat lawan mahupun di laman sendiri.
Pertemuan antara JDT dan Kuching City di final bakal menjadi yang pertama dalam sejarah, dengan tarikh serta venue rasmi dijangka diumumkan oleh Malaysian Football League (MFL) dalam masa terdekat.