JDT ANGKAT RANKING MALAYSIA, SLOT ASIA 2027/28 SEMAKIN KUKUH
Kejayaan Johor Darul Ta’zim (JDT) di pentas Asia musim ini terus memberi impak besar apabila Malaysia berjaya mengekalkan kedudukan dalam kelompok enam terbaik zon Timur ranking kelab AFC 2025/26.
Prestasi cemerlang Harimau Selatan, khususnya kemaraan hingga ke suku akhir Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE), menjadi penyumbang utama kepada peningkatan mata negara.
JDT sahaja mengumpul 21.500 mata, sekali gus memperkukuh jumlah keseluruhan Malaysia yang kini mencecah 45.184 mata.
Selain itu, sumbangan daripada Selangor FC turut membantu menambah kutipan mata, meskipun pada skala lebih kecil.
Dengan kedudukan semasa, Malaysia bukan sahaja kekal kompetitif di zon Timur, malah masih berada dalam kelompok 11 terbaik Asia secara keseluruhan, satu pencapaian yang penting dalam menentukan agihan slot pertandingan kelab AFC.
Situasi ini meletakkan Malaysia di landasan baik untuk mengekalkan satu slot automatik ke ACLE serta satu lagi tempat ke saingan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) bagi musim 2027/28.
Walaupun Singapura dan Vietnam berada di belakang, perbezaan mata yang agak ketara memberi sedikit kelegaan buat Malaysia ketika ini.
Namun, ancaman tetap wujud terutamanya daripada Vietnam yang berpeluang meraih kelebihan sekiranya perubahan struktur slot kejohanan Asia diperkenalkan musim depan.