SHUKOR ADAN INGATKAN SKUAD B-16: JANGAN PANDANG RENDAH LAOS

Gambar utama SHUKOR ADAN INGATKAN SKUAD B-16: JANGAN PANDANG RENDAH LAOS

Ketua jurulatih skuad B-16 negara, Shukor Adan mengingatkan anak buahnya agar tidak memandang rendah kemampuan Laos menjelang aksi separuh akhir hari ini.

Menurut beliau, status Laos sebagai juara Kumpulan B, termasuk kemenangan mengejut ke atas Thailand, sudah cukup membuktikan pasukan itu bukan lawan mudah.

“Menjelang aksi separuh akhir, saya ingatkan pemain supaya kekal fokus dan jangan pandang rendah. Laos juara Kumpulan B dengan mengejutkan Thailand.

“Menerusi analisis video, Laos cukup komited di atas padang dengan serangan balas dan semangat berpasukan yang tinggi,” katanya.

Dalam masa sama, beliau turut memaklumkan skuad negara berada dalam keadaan terbaik tanpa sebarang isu kecederaan atau penggantungan pemain, sekali gus memberi lebih banyak pilihan dari segi taktikal.

“Tanpa sebarang kecederaan atau penggantungan, saya sedang merancang pendekatan taktikal terbaik untuk berdepan Laos,” jelasnya lagi.

Malaysia yang kali terakhir muncul juara pada 2019 kini semakin hampir untuk kembali ke pentas akhir, dan Shukor menegaskan pasukannya tidak mahu melepaskan peluang tersebut.

“Alang-alang dah ke separuh akhir, kami akan buat sehabis baik untuk ke final. Saya yakin dengan para pemain dan melihat mereka kini pada motivasi terbaik.

“Harap juga doa daripada penyokong supaya anak-anak ini dapat melakukan yang terbaik berdepan Laos dan layak ke final,” katanya.

Jika berjaya melepasi halangan Laos, Malaysia bakal membuat perhitungan sama ada dengan Vietnam atau Australia pada aksi final yang dijadual berlangsung Jumaat ini, 24 April 2026.