BUBBLES O2 RASMI TAJA NSFC, SUNTIKAN BAHARU BUAT HOBIN JANG HOBIN
Bubbles O2 secara rasmi diumumkan sebagai rakan penaja baharu Negeri Sembilan FC (NSFC) menerusi satu majlis penyerahan cek tajaan yang berlangsung di Bilik Gerakan Negeri, Wisma Negeri, kelmarin.
Kerjasama strategik ini hadir sebagai suntikan penting dalam memperkukuh pengurusan serta meningkatkan prestasi skuad “Hobin Jang Hobin” dalam saingan bola sepak tempatan.
Menerusi penajaan ini, Bubbles O2 bukan sahaja menyumbang dari sudut kewangan, malah turut memainkan peranan dalam memastikan keperluan hidrasi pasukan sentiasa berada pada tahap terbaik sepanjang musim latihan dan perlawanan.
Ketua Pegawai Eksekutif NSFC, Faliq Firdaus menyifatkan kerjasama ini sebagai bukti keyakinan sektor korporat terhadap potensi serta hala tuju pasukan Negeri Sembilan FC.
“Penyertaan Bubbles O2 sebagai rakan penaja bukan sekadar sumbangan dana, tetapi satu perkongsian visi untuk melihat bola sepak Negeri Sembilan terus berkembang.
"Kami berharap sokongan hidrasi berkualiti ini dapat membantu aspek pemulihan dan kecergasan pemain,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bubbles O2 Sdn. Bhd., Abdul Aziz Arifin menjelaskan bahawa sebagai syarikat yang berpangkalan di Rantau, Negeri Sembilan, pihaknya melihat penajaan ini sebagai satu tanggungjawab sosial kepada komuniti setempat.
“Majlis hari ini bukan sekadar simbolik, tetapi mencerminkan komitmen jangka panjang kami dalam menyokong pembangunan sukan, khususnya bola sepak di Negeri Sembilan.
"Kami percaya sukan mampu menyatukan masyarakat serta menjadi platform penting dalam membentuk disiplin dan jati diri generasi muda,” ujarnya.
Majlis penyerahan tajaan tersebut disempurnakan di hadapan Yang Berbahagia Dato’ Zafir bin Ibrahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS), bersama barisan kepimpinan kelab termasuk Faliq Firdaus.