ALI MAJRASHI DIGANTUNG TIGA PERLAWANAN, JDT TURUT DIDENDA AFC
Pertahanan kelab Al-Ahli, Ali Majrashi sah dikenakan hukuman penggantungan tiga perlawanan serta denda berjumlah AS$2,000 (RM8,000) oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC). Tindakan disiplin ini diambil susulan insiden kekasaran ngeri yang melibatkan pemain itu dalam aksi suku akhir Liga Juara-Juara AFC Elit menentang wakil Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT), Jumaat lalu.
Hukuman tersebut diputuskan oleh Jawatankuasa Tatatertib AFC selepas Majrashi dikesan melakukan satu sepakan akrobatik berbahaya yang tepat mengenai kepala pemain JDT, Jairo da Silva. Insiden yang berlaku di Stadium King Abdullah, Jeddah itu telah mencetuskan suasana cemas di atas padang apabila Jairo dilihat terjatuh dan berada dalam keadaan tidak sedarkan diri buat seketika.
Akibat kecederaan serius di bahagian muka, Jairo terpaksa dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan kecemasan. Pemain import Harimau Selatan itu dilaporkan terpaksa menerima 30 jahitan di bahagian atas bibir sekali gus membuktikan impak kekasaran yang berlaku dalam perlawanan yang cukup sengit berkenaan.
Dalam pada itu, laporan daripada portal sukan MakanBola turut mendedahkan bahawa Al-Ahli tidak terlepas daripada hukuman tambahan apabila didenda AS$7,000 (RM27,700). Denda tersebut dikenakan selepas pasukan gergasi Arab Saudi itu didapati lewat kembali semula ke dalam padang bagi memulakan aksi babak kedua perlawanan.
Kem JDT juga dilaporkan menerima tempias hukuman apabila badan induk bola sepak Asia itu mengenakan denda berjumlah AS$7,000 (RM27,700) terhadap mereka. Tindakan tersebut diambil susulan disiplin pemain yang agak longgar dalam perlawanan tersebut yang menyaksikan seramai tujuh orang pemain Harimau Selatan telah dilayangkan kad kuning oleh pengadil.
Walaupun Al-Ahli berjaya mencatatkan kemenangan 2-1 dalam aksi suku akhir tersebut biarpun bermain dengan 10 orang, kehilangan Majrashi pastinya memberi kesan kepada persediaan pasukan. Kelab itu kini dijadualkan bakal berdepan wakil Jepun, Machida Zelvia dalam aksi perlawanan akhir yang akan berlangsung pada Ahad ini bagi menentukan juara mutlak Asia.