CHELSEA HUBUNGI IRAOLA SELEPAS PECAT ROSENIOR
Chelsea FC dilaporkan sudah memulakan langkah awal dalam usaha mencari pengurus baharu apabila menghubungi pengendali AFC Bournemouth, Andoni Iraola sebagai calon pengganti Liam Rosenior.
Keputusan drastik itu dibuat kurang 24 jam selepas Chelsea dibelasah 0-3 oleh Brighton & Hove Albion, sekali gus menamatkan tempoh singkat Rosenior bersama kelab London tersebut.
Sebagai langkah sementara, Chelsea melantik Calum McFarlane untuk mengemudi pasukan hingga akhir musim, sambil pengurusan tertinggi giat menilai calon sesuai bagi jawatan tetap.
Prestasi semasa The Blues berada pada tahap membimbangkan apabila mereka mencatat lima kekalahan liga berturut-turut tanpa sebarang jaringan, satu rekod buruk yang kali terakhir berlaku pada tahun 1912.
Situasi itu menyaksikan Chelsea kini terperosok di tangga ketujuh English Premier League, ketinggalan tujuh mata di belakang Liverpool FC yang menduduki slot terakhir ke UEFA Champions League.
McFarlane bakal berdepan cabaran getir apabila perlu mengendalikan pasukan dalam aksi separuh akhir FA Cup menentang Leeds United, selain empat baki perlawanan liga.
Empat aksi tersebut menyaksikan Chelsea akan bertemu Nottingham Forest, Liverpool, Tottenham Hotspur dan Sunderland AFC dalam usaha menamatkan musim dengan lebih baik.
Sementara itu, Iraola sebelum ini mengesahkan beliau akan meninggalkan Bournemouth sebaik kontraknya tamat pada penghujung musim, dan mengakui keputusan tersebut bukan sesuatu yang mudah selepas tempoh yang panjang dipertimbangkan.