EMPAT KATEGORI TIKET FINAL PIALA MALAYSIA DIUMUMKAN

Gambar utama EMPAT KATEGORI TIKET FINAL PIALA MALAYSIA DIUMUMKAN

Penyokong Johor Darul Ta’zim FC (JDT) dan Kuching City FC kini mempunyai empat pilihan harga tiket bagi aksi final Piala Malaysia yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 23 Mei ini.

Malaysian Football League (MFL) memaklumkan kategori tiket yang ditawarkan merangkumi General Admission berharga RM50 dan RM70, selain Premium (RM150) serta VIP Grandstand (RM200).

Menurut MFL, harga yang diumumkan pada Khamis itu kekal sama seperti yang ditawarkan pada edisi final musim 2024/25, sekali gus mengekalkan struktur harga sedia ada untuk penyokong.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd berharap pengumuman awal ini dapat membantu penyokong kedua-dua pasukan merancang kehadiran mereka lebih awal.

Beliau turut menjelaskan bahawa urusan penjualan tiket akan dikendalikan sepenuhnya oleh pihak pengurusan JDT dan Kuching City, bagi memastikan proses pengagihan lebih teratur.

Langkah tersebut dilihat bukan sahaja mampu memperkemas sistem penjualan tiket, malah memberikan peluang yang lebih adil kepada penyokong kedua-dua pasukan untuk mendapatkan tiket.

Dalam masa sama, penyokong disarankan untuk mengikuti pengumuman rasmi daripada pihak JDT dan Kuching City bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung mekanisme pembelian tiket.

JDT dan Kuching City mara ke final selepas menewaskan lawan masing-masing di separuh akhir, dengan JDT menyingkirkan Kuala Lumpur City FC, manakala Kuching City mencipta sejarah tersendiri apabila menewaskan Selangor FC untuk muncul wakil Sarawak pertama ke final sejak 1999.