MFL ANJUR MEJA BULAT, KELAB LIGA M BERSATU CARI JALAN KELUAR
Usaha untuk menangani kemelut yang melanda kebanyakan pasukan Liga Malaysia (Liga M) kini memasuki fasa lebih serius apabila Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dilaporkan bakal menganjurkan perbincangan meja bulat melibatkan semua kelab.
Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC (SFC), Johan Kamal Hamidon, mengesahkan bahawa jemputan rasmi telah diterima dan sesi itu dijangka berlangsung pada minggu depan.
Menurut beliau, platform tersebut penting untuk menghimpunkan suara semua pihak dalam usaha mencari penyelesaian terbaik demi masa depan liga.
“Saya rasa MFL ada keluarkan jemputan untuk mengadakan perbincangan meja bulat. Saya rasa (jemputan) kira-kira dua hari lalu.
Jadi kita akan ada perbincangan bersama semua Ketua Pegawai Eksekutif kelab yang dianjurkan oleh MFL pada minggu depan.
Kita harap kita dapat berada di sana dan berkongsi beberapa pandangan dan idea mengenai apa yang boleh dilakukan untuk menjadikan liga kita bertambah baik dan diperbaiki tahun untuk tahun depan.”
— BH Sukan
Cadangan untuk mengadakan perbincangan sedemikian bukan perkara baharu, sebaliknya telah lama dibangkitkan oleh beberapa kelab yang berdepan tekanan terutama dari sudut kewangan dan struktur pengurusan.
Antara pasukan yang sebelum ini menyuarakan keperluan tersebut termasuk Penang FC, Sabah FC, Negeri Sembilan FC, Terengganu FC, Johor Darul Ta’zim dan Kuching City FC.
Kesediaan kelab-kelab ini mencerminkan keperluan mendesak untuk satu pendekatan kolektif dalam menangani cabaran semasa, khususnya melibatkan kestabilan kewangan serta hala tuju bola sepak tempatan.
Perbincangan meja bulat itu dilihat sebagai langkah awal ke arah merangka penyelesaian lebih menyeluruh, dengan harapan Liga M mampu kembali lebih stabil dan kompetitif pada musim akan datang.