LUQMAN HAKIM PATAH BAHU, MUSIM BERSAMA NEGERI SEMBILAN BERAKHIR AWAL

Gambar utama LUQMAN HAKIM PATAH BAHU, MUSIM BERSAMA NEGERI SEMBILAN BERAKHIR AWAL

Penyerang kebangsaan, Luqman Hakim Shamsudin terpaksa melupakan baki saingan musim ini lebih awal selepas disahkan mengalami kecederaan serius ketika bersama Negeri Sembilan FC.

Perkembangan itu diumumkan pihak kelab yang memaklumkan pemain berusia 22 tahun itu mengalami patah bahu susulan insiden dalam perlawanan menentang Terengganu FC pada 25 April lalu.

Kecederaan tersebut memaksa jurulatih interim, K. Rajan melakukan pertukaran awal dengan memasukkan N. Javabilaarivin seawal separuh masa pertama.

Menurut kenyataan rasmi kelab, Luqman perlu menjalani pembedahan selepas pemeriksaan lanjut di hospital, sekali gus menutup peluangnya untuk beraksi semula dalam baki saingan liga musim ini.

Situasi itu jelas memberi tamparan besar kepada pasukan, lebih-lebih lagi selepas mereka turut kehilangan seorang lagi tonggak utama, Jovan Motika yang sebelum ini juga disisihkan akibat kecederaan.

Sejak menyertai skuad Sang Rusa pada awal musim 2025/26, Luqman tampil dengan prestasi memberangsangkan apabila merekodkan enam gol dan satu bantuan jaringan daripada 24 penampilan.

Negeri Sembilan kini perlu segera bangkit bagi menghadapi aksi seterusnya menentang Melaka FC pada 3 Mei ini, dalam usaha memastikan momentum pasukan tidak terus terjejas tanpa kelibat penyerang utama mereka.