AZIZULHASNI AKHIRI PENTAS PIALA DUNIA DENGAN DUA PINGAT BERMAKNA
Legenda berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang menutup tirai saingan UCI Track Cycling World Cup dengan satu lagi pencapaian membanggakan apabila meraih pingat gangsa dalam acara pecut individu di Velodrom Nasional Nilai.
Pingat tersebut diraih selepas beliau berjaya menundukkan pelumba neutral (AIN), Nikita Kiriltsev dalam aksi penentuan tempat ketiga. Terdahulu, Azizulhasni terlepas peluang ke final selepas tewas kepada wakil Trinidad dan Tobago, Nicholas Paul di peringkat separuh akhir.
Namun, semangat juang yang ditampilkan membolehkan beliau bangkit dengan penuh bergaya untuk memastikan podium tetap menjadi miliknya dalam acara tersebut.
Lebih manis, pencapaian itu melengkapkan kejayaan cemerlang Azizulhasni di Nilai apabila sebelum ini turut menghadiahkan pingat emas menerusi acara keirin.
Dua pingat yang diraih di laman sendiri ini bukan sekadar menambah koleksi peribadi, malah menjadi penutup sempurna buat perjalanan beliau dalam saingan Piala Dunia Trek UCI, sekali gus menghadiahkan kenangan indah kepada peminat sukan tanah air.