TUNKU ISMAIL TERUS PERKUKUH EMPAYAR HARIMAU SELATAN
Kegagalan Johor Darul Ta’zim FC melangkah lebih jauh di pentas AFC Champions League Elite tidak langsung mematahkan perancangan besar kelab itu.
Sebaliknya, pemiliknya, Tunku Ismail Sultan Ibrahim melihat pencapaian mara ke suku akhir sebagai asas penting untuk JDT terus melonjak ke tahap lebih tinggi selepas ini.
Dalam kempen tersebut, Harimau Selatan berjaya mencipta sejarah tersendiri termasuk menewaskan wakil dari Jepun sebelum langkah mereka disekat oleh juara bertahan, Al-Ahli Saudi FC.
Tunku Ismail menegaskan bahawa kelab itu tidak akan mengambil pendekatan bertahan atau selesa dengan pencapaian semasa, malah komited untuk terus menambah kekuatan dalam semua aspek bagi memastikan JDT kekal di landasan sebagai kuasa utama bola sepak.
Menurut Baginda, segala keputusan dan pendekatan yang diambil adalah sebahagian daripada tanggungjawabnya dalam membina kelab yang lebih besar dan kompetitif.
“Sudah menjadi tanggungjawab saya untuk menjadikan JDT lebih kuat serta lebih besar dalam setiap aspek. Kami tidak akan berhenti,” katanya.
Dengan kempen Asia kini berakhir, fokus JDT beralih sepenuhnya ke saingan domestik, termasuk baki aksi liga, final Piala Malaysia dan juga cabaran di peringkat separuh akhir Shopee Cup, misi yang dilihat penting untuk menutup musim dengan lebih banyak kejayaan.