BEREGU MUDA CURI TUMPUAN, MALAYSIA AKHIRI PENANTIAN KE SUKU AKHIR
Malaysia menutup aksi Kumpulan B Uber Cup dengan nota positif apabila beregu muda negara mencipta kejutan ke atas pasangan elit Jepun.
Gandingan Low Zi Yu–Noraqilah Maisarah Ramdan menjadi penyumbang mata tunggal negara dalam kekalahan 4-1 kepada Jepun, selepas menewaskan pasangan ranking ketujuh dunia.
Turun selaku beregu ke-143 dunia, mereka mempamerkan aksi berani apabila menguasai set pertama 21-17. Walaupun kecundang 12-21 pada set kedua, pasangan muda itu tidak mengalah dan bangkit menamatkan perlawanan dengan kemenangan 21-19 dalam set penentuan.
Walaupun tewas secara keseluruhan, Malaysia tetap mengesahkan kemaraan ke suku akhir, pencapaian yang akhirnya kembali dilakar selepas kali terakhir pada edisi 2010.
Kejayaan itu hadir hasil dua kemenangan awal ke atas Turkiye dan Afrika Selatan dalam saingan kumpulan.
Skuad negara kini hanya menunggu keputusan undian pada 29 April bagi menentukan lawan di peringkat suku akhir.