CHRIGOR BERI KELEBIHAN AWAL BUAT SELANGOR MENJELANG AKSI DI VIETNAM
Selangor FC membawa bekalan positif ke Vietnam selepas menewaskan Nam Dinh 2-1 dalam aksi separuh akhir pertama ACC Shopee Cup di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Kemenangan itu meletakkan skuad kendalian Kim Pan-gon dalam kedudukan lebih baik menjelang aksi timbal balik, namun kelebihan satu gol masih belum cukup selesa untuk memastikan tempat ke final.
Tumpuan sekali lagi terarah kepada penyerang import, Chrigor Moraes yang muncul watak penting buat Gergasi Merah menerusi penyudah tajamnya sepanjang perlawanan.
Selangor menurunkan beberapa tonggak utama termasuk Faisal Halim, Safuwan Baharudin dan Chrigor, manakala Nam Dinh turut mempertaruhkan pemain naturalisasi Vietnam, Nguyen Xuan Son serta bekas bintang Afrika Selatan, Percy Tau.
Selepas aksi seimbang antara kedua-dua pasukan, Selangor berjaya mendapatkan jaringan penting menerusi Chrigor pada minit ke-58 hasil hantaran Quentin Cheng untuk meletakkan tuan rumah di hadapan 2-1.
Gol tersebut memberi suntikan keyakinan buat Selangor yang tampil lebih tersusun terutama di bahagian pertahanan sepanjang babak kedua.
Gandingan Safuwan Baharudin, Quentin Cheng, Zikri Khalili dan Mamadou Diarra berjaya menyekat beberapa percubaan berbahaya Nam Dinh sekali gus memastikan kelebihan kekal memihak kepada tuan rumah.
Keputusan 2-1 itu menyaksikan Selangor membawa bekalan tipis ke Stadium Thien Truong bagi aksi timbal balik pada 13 Mei ini dalam usaha memburu slot ke pentas final ACC Shopee Cup.