“Impian saya bermain untuk Manchester United”

Gambar utama “Impian saya bermain untuk Manchester United”

Bintang muda dedah hasrat pikat hati ayah.

Manchester United terus giat memburu bakat muda berpotensi tinggi dari Eropah dan Amerika Selatan dalam usaha membina semula kekuatan jangka panjang kelab.

Setakat ini, The Red Devils sudah membuat perancangan awal untuk membawa masuk Cristian Orozco dari Fortaleza CEIF, dengan pemain muda Colombia itu dijangka menyertai kelab selepas genap 18 tahun pada Julai nanti. Dua bulan lalu, Orozco sendiri mengesahkan lawatannya ke Old Trafford serta kontrak lima tahun yang menantinya di England.

Selain itu, United turut memantau rapi prospek muda dari Ecuador, Ederson Castillo dari LDU Quito, manakala baru-baru ini mereka menjemput pertahanan remaja Ireland, Ikechimka Manjor dari Cork City untuk menjalani sesi percubaan.

Kini, satu lagi nama muda muncul dalam radar - kali ini dari Sweden. Penyerang berusia 15 tahun, Zebedee Kennedy dari Mjallby AIF secara terbuka menyatakan impiannya untuk menyarung jersi Manchester United.

Kennedy menyertai Mjallby daripada GIF Sundsvall pada musim panas lalu dan telah menandatangani kontrak tiga tahun bersama kelab itu. Ketika pengumuman dibuat, ketua pencari bakat Mjallby, Labinot Bajrami, tidak lokek memuji kualiti pemain muda tersebut.

Menurutnya, Kennedy merupakan antara bakat paling menarik di Sweden ketika ini, memiliki kelajuan tinggi, kebolehan menggelecek, bijak mencari ruang dalam kotak penalti serta penyudah yang tajam - ciri-ciri yang menjadikannya aset penting untuk masa depan Mjallby.

Prestasi itu diterjemahkan di atas padang apabila Kennedy menjaringkan gol dalam kemenangan 4-1 Mjallby ke atas Artis Brno dalam aksi persahabatan Atlantic Cup bersama skuad B-15.

Selepas perlawanan, pemain muda antarabangsa Sweden U15 itu berkongsi impian besarnya - bermain untuk Manchester United, bukan sekadar demi karier, tetapi untuk membanggakan ayahnya.

“Sudah tentu, impian saya adalah bermain untuk kelab kegemaran ayah saya, Manchester United. Alangkah indahnya jika dapat melihat ayah saya memakai jersi United dengan nama saya di belakang,” katanya.

Namun begitu, Kennedy perlu bersabar kerana peraturan perpindahan antarabangsa bermaksud beliau hanya boleh merealisasikan impian itu selepas mencapai usia 18 tahun. Buat masa ini, fokusnya kekal untuk terus berkembang di Sweden - sambil menyimpan satu impian besar di Old Trafford