SELANGOR FC BAKAL GEGAR PENTAS SEPARUH AKHIR SHOPEE CUP
Pasukan di bawah kendalian Kim Pan-Gon mengesahkan kemaraan ke separuh akhir Shopee Cup 2025-2026, sekali gus mengiringi dua lagi kelab yang lebih awal menempah tempat ke peringkat empat terbaik kejohanan itu.
Satu perjalanan mencabar buat Selangor yang pada awalnya gah di tangga teratas kumpulan A selepas mencatat satu kemenangan dan satu seri, namun jatuh di tangga kedua selepas bergelut dalam aksi sukar berdepan DH Cebu pada awal peringkat kumpulan.
Bagaimanapun, keputusan seri 1-1 menentang BG Pathum United dalam aksi terakhir Kumpulan A pada Rabu sudah memadai buat skuad Gergasi Merah untuk kembali mengukit senyuman selepas layak bergelar naib juara kumpulan dengan kutipan 11 mata.
Gol yang dijaringkan oleh Faisal Halim serta jaringan sendiri pemain Selangor FC, Richmond Ankrah pada separuh masa kedua menyaksikan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata, namun Selangor tetap lega dengan tiket ke separuh akhir di tangan.
Dalam satu lagi perlawanan Kumpulan A, Buriram United mengesahkan status juara kumpulan selepas membelasah Dynamic Herb Cebu 6-0, sekali gus mara selaku pendahulu.
Sementara itu, satu slot separuh akhir sudah lebih awal menjadi milik Nam Dinh apabila wakil Vietnam itu mencatat empat kemenangan berturut-turut dalam saingan Kumpulan B minggu lalu.
Baki satu lagi tiket ke separuh akhir pula semakin hampir menjadi milik Johor Darul Ta’zim (JDT) yang ketika ini memiliki kelebihan mata yang selesa berbanding pencabar lain dalam kumpulan mereka.
Aksi separuh akhir Shopee Cup 2025-2026 dijadualkan berlangsung pada 6 Mei 2026.