SHOPEE CUP: JDT MENYUSUL, LENGKAPKAN SLOT KE SEPARUH AKHIR
Johor Darul Ta’zim (JDT) mengesahkan kemaraan ke separuh akhir Shopee Cup selepas menamatkan saingan peringkat kumpulan sebagai salah satu daripada empat pasukan terbaik kejohanan itu.
Keputusan seri 1-1 menentang wakil Vietnam, Thep Xanh Nam Dinh FC menyaksikan Harimau Selatan menamatkan saingan Kumpulan B di kedudukan naib juara, sekali gus melayakkan diri ke pusingan separuh akhir yang dijadual berlangsung pada Mei ini.
Daripada Kumpulan A, juara bertahan Buriram United mengesahkan status selaku pendahulu kumpulan, manakala Selangor FC melengkapkan slot separuh akhir selepas menamatkan kempen sebagai naib juara.
Pencapaian ini turut mencatat sejarah apabila Malaysia kembali mempunyai wakil di peringkat separuh akhir kejohanan serantau, selepas kali terakhir dicapai oleh Kuala Lumpur City FC dalam saingan Piala AFC 2022.
Sebagai rekod, KL City berjaya mencipta sensasi apabila mara sehingga ke perlawanan akhir sebelum tewas 3-0 kepada wakil Oman, Al Seeb.
Saingan separuh akhir Shopee Cup 2026 bakal berlangsung pada 6 Mei, manakala aksi timbal balik dijadualkan pada 12 Mei 2026.