JENDELA PERPINDAHAN: KELAB AMBIL PELUANG REKRUT JENTERA BAHARU

Gambar utama JENDELA PERPINDAHAN: KELAB AMBIL PELUANG REKRUT JENTERA BAHARU

Jendela perpindahan Liga Malaysia yang dibuka sekitar Januari hingga awal Februari lalu menyaksikan pergerakan cukup rancak dalam kalangan kelab Liga Malaysia malah Liga A1 Semi Pro juga. Ada yang melakukan rombakan besar-besaran, ada juga yang memilih pendekatan lebih selektif dengan satu matlamat, memperkemas kekuatan bagi menghadapi baki saingan musim ini.

Johor Darul Ta’zim (JDT) sekali lagi tampil proaktif memperkukuh skuad. Kehadiran Rui Filipe, jeneral tengah berusia 31 tahun dari Portugal, menjadi antara tumpuan utama dengan peranannya dijangka memperkukuh struktur permainan di bahagian tengah. 

Turut menyertai Harimau Selatan ialah Yago Cesar, Marcos Guilherme, Stuart Wilkin, Syamer Kutty dan Ajdin Mujagic, sekali gus memberi lebih banyak pilihan berkualiti kepada barisan kejurulatihan.

Gambar tambahan untuk artikel

Negeri Sembilan pula memberi fokus kepada keseimbangan pengalaman dan menyerap masuk Oday Kharoub, jeneral tengah Palestin berusia 32 tahun yang pernah beraksi dalam Liga Malaysia sebelum ini. Selain itu, Kei Oshiro, produk akademi Urawa Reds, serta Yuichi Hirano yang memiliki pengalaman beraksi di pentas tertinggi Asia, turut dibawa masuk bagi memperkukuh skuad Jang.

Selangor FC antara pasukan paling mencuri perhatian bermula dengan pelantikan Kim Pan Gon sebagai ketua jurulatih baharu menjadi langkah signifikan dalam fasa baharu kelab itu, dengan reputasinya sebagai pengendali berpengalaman di peringkat antarabangsa memberi dimensi taktikal lebih segar buat The Red Giants. 

Dari segi pemain, Selangor membawa masuk Mahame Siby dari Perancis, Hugo Boumous selaku jentera tengah baharu, Vitor Pernambuco, Alex Agyarkwa serta Safuwan Baharuddin yang kembali menyarung jersi Merah Kuning. 

Turut memperkuatkan pasukan ialah dua pemain dari Korea, Kim Ji-Ho dan Jeon Seung-min, bagi menambah variasi di bahagian serangan dan pertahanan.

Terengganu FC tidak ketinggalan melakukan penambahbaikan dengan kemasukan pemain pinjaman dari JDT Haqimi Azim, selain dua pemain Tajikistan, Ehson Panjsanbe dan Shervoni Mabatshoev yang dijangka memberi impak di jentera tengah dan serangan. Kehadiran Gervane Kastaneer pula menambah pilihan di bahagian ofensif skuad Peteh.

Penang FC mempertaruhkan pengalaman menerusi penyerang Brazil, Coutinho, manakala Omid Musawi menyertai pasukan itu secara pinjaman. 

Kuching City FC pula memperkenalkan Ahmad Israiwah serta pemain warisan, Gabriel Palmero, sebagai sebahagian usaha memperkukuh cabaran mereka musim ini.

Sabah FC turut memperkemas barisan dengan membawa masuk Ernesto, Belfort Kervensfils serta Duje Ljubic yang bakal mengemudi bahagian tengah The Rhinos. 

Dalam perkembangan lain, Wan Zack Haikal memilih haluan baharu bersama Perak dalam saingan Liga A1 Semi Pro, manakala Melaka mendapatkan Sam Somerville secara pinjaman dan Kedah memperkuatkan serangan menerusi Chukwu Chijioke.

Secara keseluruhan, jendela perpindahan kali ini memperlihatkan perancangan lebih tersusun dan berstrategi dalam kalangan kelab Liga Malaysa bagi mengekalkan tahap sengit hingga ke penghujung.