ACL2: LANGKAH DANIEL TING, RATCHABURI TERHENTI DI SUKU AKHIR

Gambar utama ACL2: LANGKAH DANIEL TING, RATCHABURI TERHENTI DI SUKU AKHIR

Hasrat pemain pertahanan Harimau Malaya, Daniel Ting untuk membantu Ratchaburi melangkah ke separuh akhir Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) tidak kesampaian apabila kelab dari Thailand itu tersingkir di peringkat suku akhir.

Ratchaburi tewas kepada wakil Jepun, Gamba Osaka dalam aksi timbal balik yang berlangsung di Stadium Ratchaburi sekali gus menamatkan perjalanan mereka dalam saingan tersebut.

Kedua-dua pasukan sebelum ini terikat 1-1 dalam perlawanan pertama di Osaka, menjadikan aksi kedua sebagai penentuan untuk merebut tiket ke peringkat separuh akhir.

Dalam perlawanan tersebut, Ratchaburi turut menurunkan beberapa pemain berpengalaman termasuk bekas tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT), Roque Mesa yang bermula di bangku simpanan.

Gamba Osaka terlebih dahulu membuka jaringan sebelum Ratchaburi berjaya bangkit menyamakan kedudukan pada babak kedua, sekali gus memastikan saingan terus sengit sehingga tamat masa sebenar.

Keputusan seri itu memaksa perlawanan berlanjutan ke masa tambahan sebelum Gamba Osaka berjaya menjaringkan gol kemenangan yang memastikan mereka mara ke separuh akhir.

Walaupun tersingkir, beberapa pemain Ratchaburi tetap mempamerkan prestasi baik termasuk penjaga gol Kampol Pathomakkakul yang dinamakan sebagai pemain terbaik perlawanan berdasarkan penilaian Sofascore.

Selepas kegagalan dalam saingan ACL2, fokus Ratchaburi kini beralih kepada kempen Thai League 1 dengan sasaran menamatkan musim di tangga kedua bagi melayakkan diri secara automatik ke Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) musim depan.