EMPAT TONGGAK IMPORT TERENGGANU FC TERIMA PANGGILAN SKUAD KEBANGSAAN

Gambar utama EMPAT TONGGAK IMPORT TERENGGANU FC TERIMA PANGGILAN SKUAD KEBANGSAAN

Empat pemain import Terengganu FC bakal meninggalkan kem pasukan sementara bagi menyertai tugasan bersama skuad kebangsaan masing-masing sempena kalendar antarabangsa Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bagi bulan Mac.

Menurut hantaran Terengganu FC di Instagram, Gervane Kastaneer, Ehson Panjshanbe, Kyaw Min Oo dan Shervoni Mabatshoev menerima panggilan daripada negara masing-masing untuk menyertai beberapa aksi antarabangsa penting.

Kastaneer dipanggil oleh ketua jurulatih baharu Curacao, Fred Rutten bagi menyertai kem skuad kebangsaan yang akan beraksi dalam kejohanan FIFA Series di Australia. Pasukan itu dijadualkan berdepan China serta tuan rumah Australia pada 27 dan 31 Mac.

Sementara itu, Panjshanbe dan Mabatshoev pula dipanggil menyertai skuad Tajikistan bagi menghadapi Filipina dalam aksi terakhir pusingan kelayakan Piala Asia 2027.

Dalam perkembangan sama, Kyaw Min Oo turut dipilih memperkuatkan pasukan kebangsaan Myanmar untuk dua perlawanan kelayakan Piala Asia 2027 menentang Afghanistan dan Pakistan yang dijadual berlangsung pada 26 dan 31 Mac.

Pemanggilan empat pemain ini sekali gus membuktikan kualiti serta pengaruh tonggak import Terengganu FC yang bukan sahaja memainkan peranan penting bersama kelab, malah terus mendapat kepercayaan untuk mewakili negara masing-masing di pentas antarabangsa.