IRAN UMUM TARIK DIRI DARIPADA PIALA DUNIA 2026

Gambar utama IRAN UMUM TARIK DIRI DARIPADA PIALA DUNIA 2026

Pasukan kebangsaan Iran dilaporkan membuat keputusan untuk menarik diri daripada saingan Piala Dunia FIFA 2026.

Perkara tersebut diumumkan oleh Menteri Sukan Iran, Ahmad Donyamali pada 11 Mac lalu yang memaklumkan faktor keselamatan menjadi punca utama negara itu tidak akan menyertai kejohanan berprestij berkenaan.

Menurut beliau, situasi geopolitik semasa yang melibatkan Amerika Syarikat sebagai salah satu tuan rumah kejohanan serta konflik dengan Israel telah menimbulkan ketegangan di rantau Asia Barat.

Sebelum ini, Presiden Football Federation Islamic Republic of Iran (FFIRI), Mehdi Taj turut memberi bayangan bahawa Iran berkemungkinan besar tidak akan menyertai Piala Dunia atas faktor keselamatan.

Jika keputusan itu kekal, ia akan menjadi kali pertama sesebuah negara menarik diri daripada kejohanan Piala Dunia sejak edisi Piala Dunia FIFA 1950. Ketika itu, India dan Perancis memilih untuk menarik diri kerana faktor kos serta tempoh perjalanan yang jauh ke Brazil.

Iran juga berdepan kemungkinan dikenakan tindakan oleh FIFA termasuk denda sekitar CHF250,000 (RM1.3 juta). Selain itu, negara tersebut juga berpotensi digantung daripada menyertai kejohanan anjuran FIFA pada masa akan datang.

Sekiranya pengunduran itu disahkan, slot Iran dalam saingan Piala Dunia berkemungkinan akan diberikan kepada negara ahli lain yang layak.

Keputusan ini turut memberi kesan kepada Presiden FIFA, Gianni Infantino yang sebelum ini menerima jaminan daripada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump bahawa pasukan Iran akan dibenarkan bertanding dalam kejohanan tersebut.