PEREBUTAN SLOT ASIA SEMAKIN SENGIT

Gambar utama PEREBUTAN SLOT ASIA SEMAKIN SENGIT

Saingan perebutan slot ke pentas Asia musim depan kini semakin hangat apabila beberapa pasukan berada dalam kedudukan rapat di belakang pendahulu liga, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Setakat ini, JDT terus mendahului carta Liga Super dengan 57 mata hasil daripada 19 perlawanan, sekali gus meletakkan mereka jauh di hadapan pencabar lain.

Di tangga kedua pula ialah Selangor FC yang berjaya mengumpul 42 mata selepas mengharungi 20 perlawanan musim ini, apatah lagi baru menewaskan sahabat derbi, Kuala Lumpur City FC. 

Namun, kedudukan Selangor masih belum selamat apabila Kuching City FC berada tidak jauh di belakang dengan 40 mata daripada 19 perlawanan.

Kuala Lumpur City FC turut berada dalam kelompok pencabar apabila mengutip 39 mata selepas 20 aksi liga setakat ini (selepas tewas kepada Selangor FC). 

Perbezaan mata yang kecil antara tiga pasukan tersebut menjadikan persaingan bagi merebut kedudukan teratas di belakang JDT semakin sengit menjelang baki perlawanan musim ini.

Kedudukan ini penting kerana ia bakal menentukan peluang pasukan untuk beraksi di pentas Asia seperti Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) dan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) musim hadapan.

Dengan beberapa perlawanan masih berbaki, setiap mata kini amat berharga buat Selangor, Kuching City dan KL City dalam usaha memastikan tempat ke kejohanan kelab Asia musim depan.