AFC KEKALKAN ARAB SAUDI VENUE PUSINGAN AKHIR ACLE

Gambar utama AFC KEKALKAN ARAB SAUDI VENUE PUSINGAN AKHIR ACLE

Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mengesahkan bahawa venue bagi pusingan akhir Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) akan terus berlangsung di Arab Saudi meskipun ketegangan geopolitik di Asia Barat masih menjadi perhatian.

Perkara itu dimaklumkan oleh Setiausaha Agung AFC, Windsor Paul John ketika mengulas kemungkinan perubahan lokasi kejohanan berkenaan susulan konflik yang melibatkan Amerika Syarikat dan Israel dengan Iran sejak 28 Februari lalu.

Ketegangan tersebut turut memberi kesan kepada jadual pertandingan apabila beberapa aksi pusingan 16 bagi zon Barat terpaksa ditangguhkan sebagai langkah keselamatan.

Menurut Windsor, AFC setakat ini tidak melihat keperluan untuk memindahkan venue pusingan akhir kejohanan itu walaupun perkembangan di rantau Asia Barat terus dipantau dari semasa ke semasa.

Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan perubahan pada jadual perlawanan sekiranya keadaan memerlukan, namun menegaskan lokasi kejohanan kekal seperti yang telah diputuskan sebelum ini.

Windsor berkata, sebarang keputusan berkaitan jadual akan dibuat berdasarkan situasi semasa bagi memastikan kelancaran pertandingan.

Beliau berkata demikian dalam sidang media khas yang berlangsung di Wisma FAM, kelmarin.