DUA KEMENANGAN HARIMAU MALAYA DIBATALKAN, AFC ISYTIHAR KALAH 3-0

Gambar utama DUA KEMENANGAN HARIMAU MALAYA DIBATALKAN, AFC ISYTIHAR KALAH 3-0

Skuad kebangsaan menerima tamparan hebat apabila dua kemenangan dalam kempen Kelayakan Piala Asia 2027 dibatalkan selepas keputusan rasmi daripada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Perkara itu disahkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selepas Jawatankuasa Tatatertib & Etika AFC mendapati Malaysia melanggar peraturan dengan menurunkan pemain yang tidak layak beraksi.

Kesalahan tersebut melibatkan dua perlawanan penting sebelum ini, iaitu ketika menentang Nepal pada 25 Mac 2025 di Stadium Sultan Ibrahim serta aksi berdepan Vietnam pada 10 Jun 2025 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Dalam kedua-dua perlawanan itu, Harimau Malaya pada asalnya mencatat kemenangan selesa, masing-masing 2-0 ke atas Nepal dan 4-0 ketika menewaskan Vietnam.

Namun begitu, keputusan tersebut kini tidak lagi diiktiraf apabila AFC memutuskan Malaysia dianggap kalah 3-0 bagi kedua-dua aksi berkenaan mengikut Artikel 25.1 Kod Tatatertib & Etika badan induk itu.

Hukuman tersebut secara tidak langsung memberi kesan besar kepada kedudukan mata Malaysia dalam saingan kelayakan, sekali gus menjejaskan peluang skuad negara untuk bersaing merebut slot ke pusingan seterusnya.

Selain kehilangan mata penting, FAM turut dikenakan denda sebanyak AS$50,000 (sekitar RM196,119) susulan pelanggaran Artikel 56 berkaitan kelayakan pemain.

Menurut FAM, pihaknya akan mengemukakan permohonan rasmi bagi mendapatkan penjelasan terperinci berhubung keputusan tersebut sebelum menentukan tindakan lanjut yang akan diambil.

Perkembangan ini pastinya menjadi cabaran besar buat Harimau Malaya, yang kini perlu bangkit dan menyusun semula strategi dalam usaha menghidupkan peluang mereka dalam kempen Kelayakan Piala Asia 2027.